KANDUNGAN
TAKRIF
BAHAGIAN I PERUNTUKAN AM
ARTIKEL 1 NAMA, IBU PEJABAT DAN BENTUK SAH
ARTIKEL 2 OBJEKTIF
ARTIKEL 3 KEKECUALIAN DAN TIADA DISKRIMINASI
ARTIKEL 4 MEMUPUK HUBUNGAN PERSAHABATAN
ARTIKEL 5 TATALAKU BADAN DAN PEGAWAI
ARTIKEL 6 PEGAWAI YANG TIDAK LAYAK DILANTIK
ARTIKEL 7 BAHASA RASMI
BAHAGIAN II KEAHLIAN
ARTIKEL 8 PENERIMAAN MASUK, PENGGANTUNGAN DAN PEMECATAN
ARTIKEL 9 PENERIMAAN MASUK
ARTIKEL 10 PERMINTAAN DAN PROSEDUR PERMOHONAN
ARTIKEL 11 HAK AHLI
ARTIKEL 12 OBLIGASI AHLI
ARTIKEL 13 PENGGANTUNGAN
ARTIKEL 14 PEMECATAN
ARTIKEL 15 PEMBERHENTIAN
ARTIKEL 16 STATUT KELAB, PERSATUAN NEGERI DAN KUMPULAN KELAB YANG LAIN
BAHAGIAN III PRESIDEN KEHORMAT DAN AHLI KEHORMAT
ARTIKEL 17 PRESIDEN KEHORMAT DAN AHLI KEHORMAT
BAHAGIAN IV ORGANISASI
ARTIKEL 18 BADAN (PERSATUAN)
A. KONGRES
ARTIKEL 19 TAKRIF DAN KOMPOSISI KONGRES
ARTIKEL 20 PERWAKILAN DAN UNDIAN
ARTIKEL 21 BIDANG KUASA
ARTIKEL 22 KUORUM KONGRES
ARTIKEL 23 KEPUTUSAN KONGRES
ARTIKEL 24 PEMILIHAN
ARTIKEL 25 KONGRES BIASA
ARTIKEL 26 AGENDA KONGRES BIASA
ARTIKEL 27 KONGRES LUAR BIASA
ARTIKEL 28 PINDAAN KEPADA STATUT
(PERATURAN YANG MENGAWAL PENGGUNAAN STATUT DAN PERATURAN TETAP KONGRES)
ARTIKEL 29 MINIT KONGRES
ARTIKEL 30 TARIKH KEPUTUSAN BERKUATKUASA
B. JAWATANKUASA EKSEKUTIF
ARTIKEL 31 KOMPOSISI
ARTIKEL 32 MESYUARAT
ARTIKEL 33 KUASA JAWATANKUASA EKSEKUTIF
ARTIKEL 34 KEPUTUSAN
ARTIKEL 35 PEMECATAN SESEORANG ATAU SESEBUAH BADAN
C. PRESIDEN
ARTIKEL 36 PRESIDEN
ARTIKEL 37 CALON BAGI JAWATAN PRESIDEN
ARTIKEL 38 WAKIL DAN TANDATANGAN
D. JAWATANKUASA DARURAT
ARTIKEL 39 JAWATANKUASA DARURAT
E. JAWATANKUASA TETAP
ARTIKEL 40 JAWATANKUASA TETAP
ARTIKEL 41 JAWATANKUASA KEWANGAN DAN PENGURUSAN
ARTIKEL 42 JAWATANKUASA AUDIT DALAM
ARTIKEL 43 JAWATANKUASA BOLASEPAK WANITA
ARTIKEL 44 JAWATANKUASA TEKNIKAL DAN PEMBANGUNAN BOLASEPAK, FUTSAL DAN BOLASEPAK PANTAI
ARTIKEL 45 JAWATANKUASA SAINS SUKAN
ARTIKEL 46 JAWATANKUASA PERUBATAN SUKAN
ARTIKEL 47 JAWATANKUASA MEDIA DAN PERHUBUNGAN AWAM
ARTIKEL 48 JAWATANKUASA INTEGRITI
ARTIKEL 49 JAWATANKUASA AD-HOC
F. SEKRETARIAT AGUNG
ARTIKEL 50 SEKRETARIAT AGUNG
ARTIKEL 51 SETIAUSAHA KEHORMAT
ARTIKEL 52 BENDAHARI KEHORMAT
ARTIKEL 53 BADAN KEHAKIMAN
ARTIKEL 54 JAWATANKUASA TATATERTIB
ARTIKEL 55 JAWATANKUASA RAYUAN
ARTIKEL 56 LANGKAH TATATERTIB
ARTIKEL 57 TIMBANG TARA
ARTIKEL 58 BIDANG KUASA
ARTIKEL 59 MAHKAMAH TIMBANG TARA SUKAN
BAHAGIAN V KEWANGAN
ARTIKEL 60 TEMPOH KEWANGAN
ARTIKEL 61 PENDAPATAN
ARTIKEL 62 PERBELANJAAN
ARTIKEL 63 JURU AUDIT BEBAS
ARTIKEL 64 YURAN KEAHLIAN
ARTIKEL 65 PENYELESAIAN
ARTIKEL 66 HARTA
ARTIKEL 67 PEMEGANG AMANAH
BAHAGIAN VI HUBUNGAN DENGAN ORGANISASI DALAM NEGARA ATAU DI PERINGKAT ANTARABANGSA
ARTIKEL 68 HUBUNGAN
ARTIKEL 69 KELULUSAN
BAHAGIAN VII PERUNTUKAN AKHIR
ARTIKEL 70 FASAL TAFSIRAN
ARTIKEL 71 KEADAAN LUAR JANGKA YANG TIDAK DIDUGA DAN FORCE MAJEURE
ARTIKEL 72 SUMBANGAN KEPADA MEDIA
ARTIKEL 73 PEMBUBARAN
ARTIKEL 74 NOTIS MESYUARAT
ARTIKEL 75 KUORUM BAGI MESYUARAT
ARTIKEL 76 KEHADIRAN DALAM MESYUARAT
ARTIKEL 77 PERKARA YANG TIDAK DINYATAKAN
ARTIKEL 78 PENGUATKUASAAN
TAKRIF
Ungkapan yang diberikan di bawah mempunyai makna seperti yang berikut:
1. Persatuan atau PJBM bermakna Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia atau dalam Bahasa Inggeris ialah Football Coaches Association Malaysia, yang disahkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia serta diiktiraf oleh dan menjadi ahli FAM.
2. FAM bermakna Football Association of Malaysia atau dalam Bahasa Melayu ialah Persatuan Bolasepak Malaysia.
3. Statut bermakna Statut atau perlembagaan Semasa Persatuan.
4. Persatuan Jurulatih Bolasepak Negeri atau PJBN bermakna persatuan jurulatih bolasepak yang diiktiraf dan menjadi ahli PJBM mengikut Artikel 9, Statut PJBM.
5. Pesuruhjaya Sukan bermakna Pesuruhjaya Sukan yang dilantik di bawah Seksyen 10 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
6. Kongres bermakna badan tertinggi Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia.
7. Jawatankuasa Eksekutif bermakna badan Eksekutif Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia.
8. Pegawai bermakna semua ahli Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Darurat, Jawatankuasa Tetap, Jawatankuasa Ad-Hoc, Badan Kehakiman PJBM, Ahli, PJBN, termasuklah juga sesiapa sahaja yang diberikan kuasa untuk menjalankan tugas bagi pihak PJBM atau PJBN di dalam Aktiviti Bolasepak.
9. Bolasepak bermakna permainan bolasepak termasuklah Futsal, Bolasepak Pantai dan aktiviti Bolasepak Wanita serta lain-lain permainan Bolasepak yang dikawal oleh FIFA dan dikelolakan oleh FAM, Ahli, Negeri atau Daerah menurut Undang-Undang Permainan berkenaan yang disiarkan oleh FIFA dan Peraturan Persatuan.
10. Aktiviti Bolasepak bermakna penglibatan PJBM, Ahli dan mana-mana individu yang terlibat di dalam aktiviti berkenaan Bolasepak yang direstui dan diluluskan oleh FAM, AFC atau FIFA serta termasuklah aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bolasepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya.
11. Setiausaha Kehormat bermakna Setiausaha Kehormat PJBM pada masa itu yang dilantik menurut Artikel 54, Statut ini.
12. Bendahari Kehormat bermakna Bendahari Kehormat PJBM pada masa itu yang dilantik menurut Artikel 55, Statut ini.
13. Ahli bermakna ahli yang diterima masuk mengikut Artikel 9, Statut ini.
14. IFAB bermakna International Football Association Board atau di dalam Bahasa Melayunya ialah Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa.
15. Mahkamah Biasa bermakna Mahkamah yang mendengar pertikaian awam dan undang-undang persendirian.
16. Tribunal Timbang Tara bermakna mahkamah keadilan persendirian yang tidak bertindak seperti Mahkamah Biasa.
17. CAS bermakna Court of Arbitration for Sport atau di dalam bahasa Melayunya ialah Mahkamah Timbang Tara Sukan yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland, atau mana-mana Mahkamah Timbang Tara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
18. Peraturan bermakna Peraturan Persatuan iaitu Statut, Kod, peraturan–peraturan , undang–undang kecil, kaedah, garis panduan dan termasuklah pekeliling yang dikeluarkan oleh PJBM atau diluluskan oleh Jawatankuasa Darurat, Jawatankuasa Tetap, Jawatankuasa Ad-hoc dan Badan Kehakiman PJBM.
19. Media bermakna media cetak, media elektronik, media alaf baru atau media maya dan termasuklah semua yang bekerja atau terlibat dalam sebarang aktiviti Media atau lain-lain aktiviti yang berkaitan dengan Media.
Nota : Ungkapan yang merujuk orang sebenar termasuklah kedua-dua jantina. Mana-mana ungkapan dalam bentuk mufrad hendaklah terpakai kepada bentuk jamak dan sebaliknya.
BAHAGIAN I PERUNTUKAN AM
Artikel 1 Nama, Ibu Pejabat dan Badan Sah
1.1 PJBM ialah sebuah Persatuan yang didaftarkan sewajarnya dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia menurut Akta Pembangunan Sukan 1997. Penubuhannya adalah untuk suatu jangka masa yang tidak ditetapkan.
1.2 Ibu pejabat PJBM dan tempat urusannya yang berdaftar terletak di Wisma FAM, Tingkat 4, Jalan SS 5A/9, Kelana Jaya, 47301, Selangor Darul Ehsan dan ini boleh dipindahkan ke satu tempat yang lain hanya selepas resolusi diluluskan oleh Kongres.
1.3 Persatuan merupakan Ahli FAM.
1.4 Lambang Persatuan hendaklah seperti dibawah ini, satu lambang bulat dengan logo bolasepak didalamnya yang mempunyai lengkung crest berwarna kuning diatasnya dan logo kecil bulat berwarna biru bersama 4 lambang orang berkepala tiga yang mewakili 3 kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Pemilihan bilangan 4 logo orang berkepala tiga tersebut adalah mewakili kerjasama baik antara 4 pihak dalam bolasepak iaitu Jurulatih, Pengurusan, Pengadil dan Penyokong. Ditengah-tengah logo kecil bulat ditengah terdapat bendera Malaysia dengan tulisan “Ditubuhkan 1994” dibawahnya. Penggunaan warna biru, kuning, merah dan putih melambangkan warna bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang. Lambang bulat paling luar mempunyai tulisan perkataan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia dan Football Coaches Association Malaysia.
Artikel 2 Objektif
Objektif Persatuan adalah :-
2.1 untuk sentiasa menambah baik dan mengemaskini segala aspek berkaitan kejurulatihan bolasepak di semua peringkat. Juga menggalakkan, menyelaraskan dan mengawalnya dengan kebenaran FAM di seluruh wilayah Malaysia berdasarkan konsep kejurulatihan yang professional serta adil dan mempunyai nilai-nilai murni, penyatuan, pendidikan, budaya dan kemanusiaan, khususnya juga melalui program-program melibatkan belia dan pembangunan;
2.2 untuk merangka Peraturan Persatuan dan peruntukan serta memastikan penguatkuasaannya;
2.3 untuk melindungi kepentingan Ahli dan PJBN;
2.4 untuk menghormati dan mengelakkan berlakunya apa-apa pelanggaran Statut, Peraturan Persatuan, Arahan atau Keputusan FIFA, AFC dan FAM atau Undang-Undang Permainan serta Kod Tatacara Jurulatih dan untuk memastikan kesemuanya ini juga dihormati oleh Ahli PJBN;
2.5 untuk menghalang segala kaedah atau amalan yang boleh mengancam keutuhan serta kredibiliti kejurulatihan, permainan atau pertandingan atau yang boleh menimbulkan sebarang gejala penyalahgunaan dalam sebarang aktiviti Bolasepak Persatuan;
2.6 untuk mengawal dan menyelia semua Aktiviti Kejurulatihan Bolasepak dalam semua bentuk yang yang dilulus dan direstui oleh FAM di seluruh Malaysia;
2.7 untuk menguruskan hubungan dalam kesukanan antarabangsa yang berkaitan dengan Kejurulatihan Bolasepak Persatuan dalam semua bentuk yang yang dilulus dan direstui oleh FAM;
2.8 untuk bergabung atau bekerjasama dengan mana-mana Persatuan, Kelab atau badan selain daripada Ahli yang mempunyai semua atau mana-mana objektifnya yang sama dengan mana-mana objektif PJBM;
2.9 untuk membantu mana-mana Ahli PJBM dengan apa jua cara bagi menggalakkan atau meneruskan segala atau mana-mana objektif Ahli tersebut seperti yang difikirkan sesuai oleh Kongres.
2.10 untuk menyelesaikan apa-apa isu atau konflik yang melibatkan ahli-ahlinya termasuk pegawai dan pemegang jawatan dalam persatuan;
2.11 memastikan semua keuntungan yang diperolehi oleh Persatuan melalui apa-apa perniagaan atau pelaburan akan digunakan semata-mata untuk meningkatkan, memajukan dan menjalankan objektif dan matlamat Persatuan ini. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang pembayaran gaji atau perbelanjaan kepada ahli atau pekerja persatuan ini. Persatuan juga boleh menubuhkan badan perniagaan dan boleh memiliki harta benda dengan syarat keuntungan hendaklah dimasukkan ke dalam Tabung Kewangan Persatuan.
Artikel 3 Kekecualian dan Tiada Diskriminasi
3.1 PJBM berkecuali dalam perkara politik dan agama.
3.2 Apa jua jenis diskriminasi terhadap sesebuah negara, orang perseorangan atau kumpulan orang disebabkan oleh keturunan etnik, jantina, bahasa, agama, politik atau apa-apa sebab lain adalah dilarang sama sekali dan boleh dihukum dengan menggantung atau memecat keahlian.
Artikel 4 Memupuk Hubungan Persahabatan
4.1 PJBM hendaklah memupuk hubungan persahabatan antara Ahli, Pegawai serta dalam masyarakat untuk tujuan kemanusiaan.
4.2 Setiap individu dan organisasi yang terlibat dalam kejurulatihan Bolasepak terikat untuk mematuhi Statut, Peraturan dan prinsip permainan yang adil serta prinsip kesetiaan, keutuhan dan semangat kesukanan.
4.3 Persatuan akan menyediakan cara bagi menyelesaikan apa-apa pertikaian dalaman yang mungkin timbul di kalangan Ahli kepada institusi yang berkenaan.
Artikel 5 Tatalaku Badan dan Pegawai
Badan dan Pegawai mestilah mematuhi Statut, Peraturan, Arahan, Keputusan dan Tataetika PJBM. Jawatankuasa Eksekutif hendaklah merangka Tataetika PJBM.
Artikel 6 Pegawai yang Tidak Layak Dilantik
Individu berikut tidak layak dilantik dan tidak boleh bertindak sebagai Pegawai jika :-
6.1 individu yang dalam pendakwaan atas tuduhan rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan dadah, pemalsuan atau fraud; atau
6.2 individu yang disabitkan kesalahan yang dinyatakan dalam perenggan (a) di atas dalam tempoh lima (5) tahun yang lalu; atau dalam tempoh lima (5) tahun pembebasan; atau
6.3 individu yang dikenakan tindakan bankrap belum dilepaskan.
Artikel 7 Bahasa Rasmi
7.1 Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi PJBM. Dokumen dan surat rasmi ditulis dalam bahasa Melayu, kecuali bagi urusan dengan FIFA, AFC dan lain-lain Persatuan yang menjadi ahli kepada FIFA dan AFC atau peringkat antarabangsa hendaklah menggunakan Bahasa Inggeris. Jika terdapat apa-apa percanggahan dalam tafsiran dan terjemahan dalam Bahasa Melayu mengenai Undang-Undang permainan atau apa-apa teks atau dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA dan AFC maka teks bahasa Inggeris hendaklah digunapakai dan dianggap sahih.
7.2 Bahasa Melayu dan/atau Bahasa Inggeris ialah bahasa rasmi dalam Kongres.
7.3 Laporan Kongres dan laporan tahunan aktiviti Persatuan bolehlah ditulis dalam Bahasa Melayu dan/atau Bahasa Inggeris.
BAHAGIAN II KEAHLIAN
Artikel 8 Penerimaan Masuk, Penggantungan dan Pemecatan
8.1 Kongres hendaklah membuat keputusan sama ada hendak menerima masuk, menggantung atau memecat Ahli.
8.2 Penerimaan menjadi Ahli boleh diberikan jika pemohon memenuhi keperluan PJBM.
8.3 Keahlian ditamatkan melalui pemberhentian atau pemecatan. Kehilangan keahlian tidak melepaskan Ahli daripada obligasi kewangannya terhadap PJBM atau Ahli PJBM yang lain tetapi menyebabkan pembatalan segala hak berhubung dengan PJBM.
Artikel 9 Penerimaan Masuk
Mana-mana individu atau organisasi terutamanya yang berkaitan dengan kejurulatihan, pembangunan serta perkembangan Bolasepak boleh memohon menjadi Ahli PJBM.
9.1 Bagi individu yang ingin menjadi Ahli hendaklah mengisi dan menandatangani borang permohonan keahlian rasmi yang dikeluarkan oleh Sekretariat Agung PJBM serta mematuhi syarat ditetapkan Sekretariat Agung PJBM serta menyerahkan salinan dokumen-dokumen berikut :-
9.1.1 Sekurang-kurangnya memiliki Lesen Kejurulatihan Bolasepak Peringkat ‘C’ FAM/AFC/FIFA dan merupakan warganegara Malaysia.
9.1.2 Salinan Sijil dan Lesen Kejurulatihan Bolasepak yang disahkan.
9.1.3 Salinan Kad Pengenalan yang disahkan.
9.2 Mana-mana Persatuan Jurulatih Bolasepak di peringkat Negeri yang didaftarkan sewajarnya dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 atau badan undang-undang sah yang ingin menjadi Ahli seperti yang diluluskan oleh Kongres mengikut budi bicaranya hendaklah memohon secara bertulis kepada Sekretariat Agung PJBM. Permohonan mestilah disertakan bersama dengan butir-butir wajib berikut :-
9.2.1 satu salinan Statut atau Peraturannya yang sah di sisi undang-undang;
9.2.2 satu pengakuan bahawa ia akan sentiasa mematuhi Statut, Peraturan dan keputusan PJBM dan memastikan bahawa ini juga akan dipatuhi oleh Ahli dan Pegawainya sendiri;
9.2.3 satu pengakuan bahawa ia akan mematuhi Undang-Undang Permainan Bolasepak yang berkuatkuasa dan disiarkan oleh FIFA;
9.2.4 satu pengakuan bahawa ia mengiktiraf Mahkamah Timbang Tara FAM dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, seperti yang ditetapkan dalam Statut ini;
9.2.5 satu pengakuan bahawa ia terletak di Malaysia dan didaftarkan sewajarnya dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan;
9.2.6 satu pengakuan yang bermaksud bahawa komposisi undang-undang pemohon menjamin bahawa ia boleh membuat keputusan secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana entiti luar;
9.2.7 satu senarai Pegawai yang menetapkan mereka menjadi penandatangan yang dibenarkan dengan hak untuk mengikat perjanjian yang sah dengan pihak ketiga;
9.2.8 satu pengakuan bahawa ia akan mengaku janji untuk mendapatkan kebenaran PJBM terlebih dahulu sebelum menganjurkan atau turut serta dalam aktiviti-aktiviti berkaitan kejurulatihan Bolasepak samada di dalam atau diluar negara.
9.2.9 satu salinan minit mesyuarat Kongres atau Mesyuarat Agung dan Perlembagaan yang terakhir.
9.3 Perkara ini tidak akan menjejaskan status Ahli yang sedia ada.
Artikel 10 Permintaan dan Prosedur Permohonan
10.1 Prosedur bagi penerimaan masuk hendaklah dikawal selia melalui Peraturan Khas yang diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif PJBM.
10.2 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah memohon Kongres sama ada untuk menerima masuk ataupun tidak seseorang pemohon itu. Pemohon boleh menyatakan sebab bagi permohonannya kepada Kongres.
10.3 Ahli baru hendaklah memperoleh hak dan tugas keahliannya sebaik sahaja ia diterima menjadi Ahli. Wakilnya layak mengundi dan dipilih, yang berkuat kuasa serta-merta.
Artikel 11 Hak Ahli
11.1 Ahli mempunyai hak berikut :-
11.1.1 untuk mengambil bahagian dalam Kongres PJBM, untuk mengetahui agendanya terlebih dahulu, untuk dipanggil ke Kongres dalam tempoh yang ditetapkan dan untuk menjalankan hak mengundi mereka;
11.1.2 untuk membuat usul bagi dimasukkan dalam agenda Kongres;
11.1.3 untuk menamakan calon bagi semua badan PJBM yang hendak dipilih;
11.1.4 untuk mengetahui tentang hal ehwal PJBM melalui badan rasmi PJBM;
11.1.5 untuk mengambil bahagian dalam Aktiviti Bolasepak dan/atau aktiviti sukan lain yang dianjurkan oleh PJBM;
11.1.6 untuk melaksanakan segala hak lain yang timbul daripada Statut dan Peraturan lain PJBM.
11.2 Pelaksanaan hak ini tertakluk kepada peruntukan lain dalam Statut ini dan Peraturan yang terpakai.
Artikel 12 Obligasi Ahli
12.1 Ahli mempunyai obligasi berikut :-
12.1.1 untuk mematuhi sepenuhnya Statut, Peraturan, arahan dan keputusan PJBM pada setiap masa dan untuk memastikan perkara ini juga dipatuhi oleh Ahlinya;
12.1.2 untuk memastikan pemilihan badan pembuat keputusannya;
12.1.3 untuk mengambil bahagian dalam Aktiviti Bolasepak dan/atau aktiviti sukan lain yang dianjurkan oleh PJBM;
12.1.4 untuk membayar yuran keahliannya;
12.1.5 untuk menghormati Undang-Undang Permainan seperti yang ditetapkan oleh FIFA dan IFAB dan untuk memastikan undang-undang ini dipatuhi oleh ahlinya melalui peruntukan statutori;
12.1.6 untuk menerima pakai fasal statutori yang menyatakan bahawa apa-apa pertikaian yang menghendaki timbang tara yang melibatkannya sendiri atau salah seorang Ahlinya dan yang berkaitan dengan Statut, Peraturan, Arahan dan Keputusan FIFA, AFC, FAM atau PJBM hendaklah terletak di bawah bidang kuasa Tribunal Timbang Tara FIFA, AFC, FAM atau PJBM yang sewajarnya sahaja, dan apa-apa tindakan ke Mahkamah Biasa adalah dilarang;
12.1.7 untuk menyampaikan kepada PJBM apa-apa pindaan pada Statut dan Peraturannya dan juga senarai para Pegawai atau orang yang menjadi penandatangan yang dibenarkan dengan hak untuk mengikat perjanjian yang sah dengan pihak ketiga;
12.1.8 untuk tidak mengadakan apa-apa hubungan yang bersifat kesukanan dengan entiti yang tidak diiktiraf atau dengan Ahli yang telah digantung atau dipecat;
12.1.9 untuk mematuhi prinsip kesetiaan, keutuhan dan semangat kesukanan yang baik sebagai pernyataan bagi permainan yang adil melalui peruntukan statutori;
12.1.10 untuk mematuhi butir-butir wajib yang dinyatakan di bawah Artikel 9 sepanjang keahliannya;
12.1.11 untuk menyimpan daftar Ahli yang dikemas kini dari semasa ke semasa;
12.1.12 setiap Ahli hendaklah mengemukakan kepada Setiausaha Kehormat, pada atau sebelum 30 April setiap tahun, Akaun Tahunan yang diaudit sewajarnya;
12.1.13 untuk mematuhi sepenuhnya segala kewajipan lain yang timbul daripada Statut dan Peraturan lain FIFA, AFC, FAM dan PJBM.
12.2 Pelanggaran obligasi yang dinyatakan di atas oleh mana-mana Ahli boleh menyebabkan tindakan diambil seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib.
Artikel 13 Penggantungan
13.1 Kongres bertanggungjawab menggantung keahlian seseorang Ahli. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Eksekutif boleh menggantung Ahli yang melanggar obligasinya sebagai Ahli secara serius dan berulang dengan berkuatkuasa serta-merta. Penggantungan ini akan berakhir sehingga Kongres berikutnya, melainkan Jawatankuasa Eksekutif menarik balik penggantungan itu.
13.2 Penggantungan keahlian hendaklah disahkan oleh Kongres berikutnya dengan majoriti tiga per empat (3/4) daripada undi yang dibuat. Jika tidak disahkan, maka penggantungan itu ditarik balik secara automatik.
13.3 Ahli yang digantung akan kehilangan hak keahliannya. Ahli lain tidak boleh mengadakan hubungan kesukanan dengan Ahli yang digantung itu. Jawatankuasa Tatatertib boleh mengenakan sekatan yang selanjutnya.
13.4 Ahli yang tidak turut serta dalam aktiviti sukan Persatuan bagi sekurang-kurangnya dua (2) daripada semua aktiviti sepanjang satu tempoh selama empat (4) tahun berturut-turut melainkan dikecualikan atas budi bicara Kongres hendaklah digantung daripada mengundi dalam Kongres, dan wakilnya tidak akan dipilih atau dilantik sehingga Ahli itu telah menunaikan obligasinya dalam hal ini.
13.5 Ahli yang masih belum membayar yurannya sehingga hari pertama bulan Mac tidak akan lagi menjadi Ahli Persatuan. Walau bagaimanapun, pada bila-bila masa setelah bayaran tunggakan itu dibuat, keahlian Ahli boleh dikembalikan semula mengikut budi bicara Kongres.
Artikel 14 Pemecatan
14.1 Kongres boleh memecat Ahli jika:
14.1.1 dia gagal memenuhi obligasi kewangannya terhadap PJBM; atau
14.1.2 dia melanggar secara serius Statut, Peraturan Persatuan, arahan atau keputusan FIFA, AFC, FAM dan PJBM.
14.2 Kehadiran majoriti mutlak Ahli (50% + 1) yang layak mengundi dalam Kongres diperlukan bagi mengesahkan pemecatan, dan usul pemecatan mestilah diterima dengan majoriti tiga per empat (3/4) daripada undi sah yang dibuat.
Artikel 15 Pemberhentian
15.1 Ahli boleh berhenti daripada PJBM dengan berkuatkuasa pada akhir setiap tahun kalendar. Notis peletakan jawatan mestilah sampai kepada Sekretariat Agung tidak lewat daripada enam bulan sebelum berakhir tahun kalendar.
15.2 Pemberhentian tidak sah sehingga Ahli yang hendak berhenti itu telah memenuhi obligasi kewangannya terhadap Persatuan dan Ahlinya yang lain dalam Persatuan.
Artikel 16 Statut Persatuan Jurulatih Negeri dan yang lain
16.1 PJBN atau mana-mana organisasi yang lain yang bergabung dengan PJBM atau Ahli hendaklah terletak di bawah dan diiktiraf oleh PJBM. Statut ini menentukan skop kuasa dan hak serta tugas organisasi dan kumpulan ini. Statut dan Peraturan Persatuan bagi kumpulan itu mestilah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif PJBM.
16.2 Organisasi dan kumpulan yang bergabung dengan PJBM atau Ahli hendaklah membuat segala keputusan tentang apa-apa perkara berkenaan dengan keahlian mereka tanpa bergantung pada mana-mana badan luar. Obligasi ini terpakai tanpa mengambil kira struktur korporat organisasi dan kumpulan tersebut.
16.3 Walau bagaimanapun, tiada orang sebenar ataupun orang di sisi undang–undang (termasuk syarikat pemegangan dan subsidiari) yang akan mengawal lebih daripada satu organisasi atau kumpulan apabila keutuhan mana-mana aktiviti atau program mungkin terjejas.

Artikel 17 Presiden Kehormat dan Ahli Kehormat
17.1 Kongres boleh mengurniakan gelaran Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat kepada mana-mana orang kerana khidmatnya yang patut dipuji dalam Bolasepak.
17.2 Jawatankuasa Eksekutif akan membuat penamaan ini.
17.3 Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat boleh mengambil bahagian dalam Kongres. Mereka boleh menyertai perdebatan tetapi tidak boleh mengundi.
BAHAGIAN IV ORGANISASI
Artikel 18 Badan (Persatuan)
18.1 Kongres ialah badan tertinggi atau perundangan.
18.2 Jawatankuasa Eksekutif ialah badan Eksekutif.
18.3 Presiden.
18.4 Jawatankuasa Darurat.
18.5 Jawatankuasa Tetap dan Ad-Hoc hendaklah menasihati dan membantu Jawatankuasa Eksekutif dalam menjalankan tugasnya. Tugas, komposisi dan fungsinya ditentukan dalam Statut atau Peraturan Khas dirangka oleh Jawatankuasa Eksekutif.
18.6 Sekretariat Agung ialah badan pentadbiran.
18.7 Badan Kehakiman ialah Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan.
18.8 Badan PJBM hendaklah dipilih atau dilantik oleh PJBM sendiri tanpa apa–apa pengaruh luar dan menurut prosedur yang diberikan dalam Statut ini.
A. KONGRES
Artikel 19 Takrif dan Komposisi Kongres
19.1 Kongres ialah mesyuarat di mana semua Ahli bersidang secara tetap. Ia mewakili kuasa perundangan tertinggi Persatuan. Hanya Kongres yang mengadakan mesyuarat secara tetap mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.
19.2 Kongres boleh terdiri sama ada daripada Kongres Biasa ataupun Kongres Luar Biasa.
19.3 Presiden hendaklah mengendalikan urusan Kongres mengikut peraturan tetap Kongres.
19.4 Kongres boleh melantik pemerhati yang mengambil bahagian dalam Kongres tetapi tidak mempunyai hak untuk berdebat atau mengundi.
19.5 Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat boleh mengambil bahagian dalam Kongres. Mereka boleh turut serta dalam perdebatan tetapi tidak boleh mengundi.
Artikel 20 Perwakilan dan Undian
20.1 Kongres terdiri daripada perwakilan berikut :-
20.1.1 Individu – 1 (satu) perwakilan
20.1.2 PJBN – 2 (dua) perwakilan
20.1.3 Mana-mana Ahli lain yang diterima masuk – 1 (satu) perwakilan di bawah Artikel 9
20.2 Perwakilan mestilah daripada Ahli yang mereka wakili dan dipilih oleh badan tertentu bagi Ahli tersebut. Perwakilan juga mestilah mengemukakan bukti jika diminta.
20.3 Setiap Perwakilan dalam kategori Ahli yang sama mempunyai jumlah undi yang sama dalam Kongres. Hanya Perwakilan yang hadir layak mengundi. Undi melalui proksi atau surat tidak dibenarkan.
20.4 Jawatankuasa Eksekutif dan Setiausaha Kehormat hendaklah mengambil bahagian dalam Kongres tanpa hak mengundi. Semasa memegang jawatan, ahli Jawatankuasa Eksekutif tidak boleh dilantik sebagai perwakilan bagi persatuan mereka.
Artikel 21 Bidang Kuasa
Kongres mempunyai bidang kuasa berikut :-
21.1 menerima pakai atau meminda Statut, Peraturan yang mengawal penggunaan Statut dan peraturan tetap Kongres;
21.2 melantik tiga (3) ahli untuk memeriksa minit mesyuarat;
21.3 memilih Presiden, dua (2) Timbalan Presiden, empat (4) Naib Presiden dan ahli Jawatankuasa Eksekutif;
21.4 melantik pengawas pemilihan;
21.5 meluluskan penyata kewangan;
21.6 meluluskan belanjawan;
21.7 meluluskan laporan aktiviti Persatuan;
21.8 melantik juruaudit bebas atas cadangan Jawatankuasa Eksekutif;
21.9 menetapkan yuran keahlian;
21.10 membuat keputusan di atas cadangan Jawatankuasa Eksekutif sama ada untuk mengurniakan gelaran Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat;
21.11 menerima masuk, menggantung atau memecat Ahli;
21.12 membatalkan cadangan bagi satu atau beberapa Ahli Persatuan;
21.13 membubarkan PJBM mengikut Artikel 76, Statut ini;
21.14 meluluskan keputusan atas permintaan Ahli menurut Statut ini;
21.15 meluluskan minit mesyuarat yang lalu;
21.16 meluluskan laporan tahunan.
Artikel 22 Kuorum Kongres
22.1 Kuorum Kongres hendaklah tidak kurang dari 20 orang Ahli atau tidak kurang dari satu perempat (1/4) daripada bilangan keahlian yang layak mengundi, mengikut bilangan yang mana lebih kecil.
22.2 Jika tidak cukup kuorum, Kongres yang kedua hendaklah diadakan dalam tempoh tujuh (7) hari selepas Kongres pertama dengan agenda yang sama.
22.3 Tidak perlu cukup kuorum dalam mesyuarat kedua melainkan mana-mana butiran dalam agenda mencadangkan pindaan Statut FAM, pemilihan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Jawatankuasa Eksekutif, pembuangan satu atau beberapa ahli Persatuan, pemecatan Ahli atau pembubaran FAM.
Artikel 23 Keputusan Kongres
23.1 Majoriti mudah adalah daripada Ahli yang hadir dan layak mengundi sudah mencukupi untuk mengesahkan sesuatu pengundian itu kecuali ditetapkan berlainan oleh Statut. Bilangan undi sah yang dikira hendaklah menentukan majoriti. Undi rosak atau undi kosong atau apa-apa tindakan tidak mengundi hendaklah diketepikan semasa mengira majoriti.
23.2 Keputusan yang menghendaki pengundian hendaklah dibuat dengan mengangkat tangan atau melalui undi sulit. Jika pengundian secara mengangkat tangan tidak menghasilkan majoriti nyata yang menyokong sesuatu usul itu, maka pengundian itu hendaklah dibuat dengan cara memanggil nama mengikut abjad.
Artikel 24 Pemilihan
24.1 Pemilihan hendaklah dijalankan melalui undi sulit.
24.2 Tatacara undian adalah seperti berikut :-
24.2.1 Calon yang mendapat undi terbanyak iaitu majoriti mudah bagi undian yang direkodkan adalah sah dalam pemilihan semasa Kongres tersebut.
24.2.2 Jika calon yang mendapat undi terbanyak menarik diri selepas undian, maka calon yang mendapat undi kedua terbanyak yang direkodkan adalah sah dipilih semasa Kongres tersebut.
24.2.3 Bagi jawatan yang mempunyai lebih daripada satu calon yang mendapat undian yang sama, maka undian yang kedua akan diadakan khas untuk calon-calon berkenaan sahaja.
24.2.4 Jika dua (2) atau lebih calon mendapat undi yang sama untuk memenuhi kuota jawatankuasa Eksekutif ini, maka undian kedua hendaklah diadakan.
24.2.5 Dalam pemilihan kedua, calon atau calon-calon yang mendapat undi terendah akan disingkirkan dari pemilihan jawatan.
24.2.6 Jika undian masih lagi tidak berkeputusan, maka Kongres yang bersidang akan memutuskan apa-apa kaedah yang sesuai untuk memutuskan calon yang dipilih dimana keputusan tersebut adalah muktamad.
Artikel 25 Kongres Biasa
25.1 Kongres Biasa hendaklah diadakan setiap tahun iaitu selewat-lewatnya 30 September setiap tahun, manakala Kongres Ahli hendaklah diadakan selewat-lewatnya 90 hari sebelum Kongres PJBM.
25.2 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah menetapkan tarikh, tempat dan masa. Ahli hendaklah diberitahu secara bertulis sekurang-kurangnya sembilan puluh (90) hari terlebih dahulu.
25.3 Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif hendaklah diadakan sekurang–kurangnya sebulan sebelum tarikh Kongres. Mesyuarat ini hendaklah mengandungi agenda, laporan tahunan, penyata kewangan yang telah diaudit, menentukan senarai pencalonan dan mana-mana dokumen lain yang berkaitan.
Artikel 26 Agenda Kongres Biasa
26.1 Setiausaha Kehormat hendaklah merangka agenda berdasarkan cadangan daripada Jawatankuasa Eksekutif dan Ahli. Apa-apa cadangan yang ingin dikemukakan oleh Ahli kepada Kongres hendaklah dihantar ke Sekretariat Agung secara bertulis, dengan disertakan penjelasan ringkas, sekurang–kurangnya dua (2) bulan sebelum tarikh Kongres.
26.2 Agenda Kongres hendaklah termasuk butir-butir wajib berikut :-
26.2.1 mengisytiharkan Kongres sudah dimulakan dan dibentuk menurut Statut PJBM;
26.2.2 meluluskan agenda;
26.2.3 ucapan Presiden;
26.2.4 melantik Ahli untuk memeriksa minit mesyuarat;
26.2.5 melantik pengawas pemilihan;
26.2.6 menggantung atau memecat Ahli (jika berkenaan);
26.2.7 meluluskan minit Kongres yang lalu;
26.2.8 melaporkan aktiviti tahunan (yang mengandungi aktiviti sejak Kongres yang lalu);
26.2.9 menyampaikan kunci kira-kira dan penyata untung rugi yang disemak dan disatukan;
26.2.10 meluluskan penyata kewangan yang telah diaudit mengandungi:
(a) kunci kira-kira, dan
(b) penyata pendapatan dan perbelanjaan
26.2.11 meluluskan belanjawan;
26.2.12 menerima masuk Keahlian (jika berkenaan);
26.2.13 mengundi bagi cadangan untuk meminda Statut, Peraturan yang mengawal penggunaan Statut dan peraturan tetap Kongres (jika berkenaan);
26.2.14 membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli dan Jawatankuasa Eksekutif;
26.2.15 melantik juruaudit bebas (jika berkenaan) berdasarkan cadangan Jawatankuasa Eksekutif;
26.2.16 melantik pemegang amanah berdasarkan cadangan Jawatankuasa Eksekutif;
26.2.17 memecat individu atau badan (jika berkenaan);
26.2.18 memilih Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Jawatankuasa Eksekutif (jika berkenaan);
26.2.19 apa-apa butiran lain yang dicadangkan oleh Ahli atau Jawatankuasa Eksekutif PJBM.
26.3 Agenda Kongres Biasa boleh dipinda, dengan syarat tiga per empat (3/4) Ahli yang hadir dalam Kongres yang layak mengundi bersetuju menerima usul tersebut.
26.4 Kongres tidak boleh membuat keputusan tentang apa-apa perkara yang tidak terdapat dalam agenda.
Artikel 27 Kongres Luar Biasa
27.1 Jawatankuasa Eksekutif boleh mengadakan Kongres Luar Biasa pada bila-bila masa.
27.2 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah mengadakan Kongres Luar Biasa jika satu per lima (1/5) daripada Ahli PJBM membuat permintaan bertulis. Permintaan ini hendaklah menetapkan butiran agenda. Kongres Luar Biasa perlu diadakan dalam tempoh tiga (3) bulan selepas menerima permintaan bertulis tersebut. Jika Kongres Luar Biasa tidak diadakan dalam tempoh itu, Ahli yang membuat permintaan itu boleh mengadakan Kongres itu sendiri. Sebagai jalan terakhir, Ahli boleh meminta bantuan FAM.
27.3 Ahli hendaklah dimaklumkan tentang tempat, tarikh dan agenda sekurang-kurangnya sebulan sebelum berlangsungnya Kongres Luar Biasa.
27.4 Apabila Kongres Luar Biasa diadakan atas usaha Jawatankuasa Eksekutif, maka pihak Jawatankuasa Eksekutif mestilah merangka agenda. Apabila Kongres Luar Biasa diadakan atas permintaan Ahli, maka agenda mestilah mengandungi butiran yang dibangkitkan oleh Ahli.
27.5 Agenda Kongres Luar Biasa tidak boleh dipinda.
Artikel 28 Pindaan kepada Statut (Peraturan yang mengawal penggunaan Statut dan peraturan tetap Kongres)
28.1 Kongres bertanggungjawab meminda Statut dan Peraturan yang mengawal penggunaan Statut dan peraturan tetap Kongres.
28.2 Apa-apa cadangan untuk meminda Statut mestilah dikemukakan secara bertulis berserta dengan penjelasan ringkas kepada Sekretariat Agung oleh Ahli atau Jawatankuasa Eksekutif. Cadangan yang dikemukakan oleh Ahli adalah sah, dengan syarat cadangan itu disokong secara bertulis oleh sekurang-kurangnya dua (2) Ahli yang lain.
28.3 Untuk meminda, melulus dan mengesahkan Statut, sah diterima pakai dengan undi mutlak (50% +1) daripada Ahli yang hadir dan layak mengundi bersetuju.
28.4 Apa-apa cadangan untuk meminda Peraturan yang mengawal penggunaan Statut dan peraturan tetap Kongres mestilah dikemukakan secara bertulis berserta dengan penjelasan ringkas kepada Sekretariat Agung oleh Ahli atau Jawatankuasa Eksekutif.
28.5 Cadangan untuk meminda Peraturan yang mengawal penggunaan Statut dan peraturan tetap Kongres hendaklah diterima pakai hanya jika majoriti mudah Ahli yang hadir dan layak mengundi bersetuju.
Artikel 29 Minit Kongres
Setiausaha Kehormat bertanggungjawab untuk mencatat minit dalam Kongres. Minit Kongres hendaklah disemak oleh ahli yang dilantik dan diluluskan dalam Kongres berikutnya.
Artikel 30 Tarikh Keputusan Berkuatkuasa
Keputusan yang diluluskan oleh Kongres hendaklah mula berkuatkuasa ke atas ahli 30 hari selepas penutupan Kongres, melainkan Kongres menetapkan tarikh lain bagi keputusan itu berkuatkuasa.
B. JAWATANKUASA EKSEKUTIF
Artikel 31 Komposisi
31.1 Jawatankuasa Eksekutif terdiri daripada tujuh belas (17) Ahli :-
31.1.1 Presiden;
31.1.2 Dua (2) Timbalan Presiden;
31.1.3 Empat (4) Naib Presiden;
31.1.4 Sepuluh (10) ahli yang mana dua (2) sahaja diperuntukkan untuk wanita.
31.2 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah dipilih oleh Kongres dan setiap calon mestilah dicadangkan oleh sekurang-kurangnya satu Ahli.
31.3 Tempoh perkhidmatan Jawatankuasa Eksekutif adalah selama empat (4) tahun. Mereka boleh dipilih semula.
31.4 Pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif, Presiden hendaklah menamakan salah seorang Timbalan Presiden yang akan bertanggungjawab sekiranya Presiden tidak hadir mesyuarat.
31.5 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah aktif dalam Bolasepak dan mempunyai tempat tinggal di Malaysia.
31.6 Pencalonan mestilah dihantar kepada Sekretariat Agung PJBM sekurang–kurangnya dua (2) bulan sebelum tarikh Kongres. Sekretariat Agung PJBM akan memohon pengesahan daripada calon sama ada menerima pencalonan atau tidak dan jika sekiranya bersetuju calon hendaklah mengemukakan persetujuan melalui borang yang yang disediakan oleh Sekretariat Agung PJBM bersama-sama surat akuan menyatakan bahawa calon adalah tidak tertakluk kepada Artikel 6, Statut ini.
31.7 Jika sekiranya calon tidak bersetuju dengan pencalonan atau calon masih terikat dengan Artikel 6, Statut ini, maka pihak Sekretariat Agung PJBM akan menggugurkan nama calon berkenaan daripada senarai pencalonan.
31.8 Jika sekiranya calon didapati memberikan pengakuan palsu berkaitan dengan Artikel 6, Statut ini, maka calon tersebut akan gugur secara automatik daripada senarai calon yang layak dan jika calon tersebut telah berjaya memegang mana-mana jawatan semasa pemilihan dalam Kongres, maka calon berkenaan akan gugur secara automatik dan tidak boleh memegang sebarang jawatan atau menjadi Pegawai sekurang-kurangnya lima (5) tahun.
31.9 Senarai rasmi calon mestilah diserahkan kepada Ahli sekurang-kurangnya satu (1) bulan sebelum tarikh Kongres bersama dengan agenda Kongres yang pada masa itu Jawatankuasa Eksekutif akan dipilih.
31.10 Jawatankuasa Eksekutif tidak boleh, pada masa yang sama, menjadi ahli Badan Kehakiman PJBM.
31.11 Jika terdapat kekosongan jawatan, Jawatankuasa Eksekutif bolehlah mengisi jawatan itu sehingga Kongres Biasa berikutnya, apabila pemilihan baru akan dibuat bagi baki tempoh mandat tersebut.
Artikel 32 Mesyuarat
32.1 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah mengadakan mesyuaratnya sekurang¬-kurangnya empat (4) kali setahun.
32.2 Presiden hendaklah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif. Jika 50% daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif meminta supaya mesyuarat diadakan, maka Presiden hendaklah mengadakan mesyuarat itu dalam tempoh 21 hari.
32.3 Presiden hendaklah menyusun agenda. Setiap ahli Jawatankuasa Eksekutif berhak mencadangkan butir-butir untuk dimasukkan ke dalam agenda. Ahli Jawatankuasa Eksekutif mestilah mengemukakan perkara yang ingin dimasukkan ke dalam agenda mesyuarat kepada Sekretariat Agung sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum mesyuarat. Agenda tersebut mestilah dihantar kepada Jawatankuasa Eksekutif sekurang–kurangnya tujuh (7) hari sebelum mesyuarat.
32.4 Setiausaha Kehormat hendaklah mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif sebagai perunding.
32.5 Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif tidak boleh diadakan secara terbuka. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Eksekutif boleh meminta pihak ketiga menghadiri mesyuarat itu. Pihak ketiga itu tidak mempunyai hak mengundi dan hanya boleh menyatakan pendapatnya dengan kebenaran Jawatankuasa Eksekutif.
Artikel 33 Kuasa Jawatankuasa Eksekutif
Jawatankuasa Eksekutif:
33.1 hendaklah meluluskan keputusan tentang segala hal yang tidak termasuk dalam skop tanggungjawab Kongres atau yang tidak dikhaskan kepada badan lain mengikut undang-undang atau di bawah Statut;
33.2 hendaklah menyediakan dan mengadakan Kongres Biasa dan Luar Biasa PJBM;
33.3 hendaklah melantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Tetap;
33.4 hendaklah melantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli Badan Kehakiman;
33.5 boleh memutuskan untuk mewujudkan jawatankuasa Ad-Hoc jika perlu pada bila-bila masa;
33.6 hendaklah meluluskan dan menyusun Peraturan bagi penubuhan jawatankuasa tetap dan jawatankuasa Ad-Hoc;
33.7 hendaklah mencadangkan juruaudit bebas kepada Kongres;
33.8 hendaklah meluluskan Peraturan yang menetapkan cara pentadbiran dalaman PJBM;
33.9 hendaklah memastikan Statut digunakan dan menerima pakai persetujuan Eksekutif yang dikehendaki untuk penggunaannya;
33.10 boleh memecat seseorang atau Pegawai atau sesebuah badan atau menggantung Ahli atau Pegawai buat sementara waktu sehigga Kongres berikutnya;
33.11 boleh mewakilkan tugas mengikut bidang kuasanya kepada badan PJBM yang lain atau kepada pihak ketiga;
33.12 menggubal, meminda dan meluluskan Kod, peraturan-peraturan, undang-undang kecil, kaedah dan garis panduan yang telah disahkan oleh Jawatankuasa Darurat, Jawatankuasa Tetap, Jawatankuasa Ad-Hoc dan Badan Kehakiman PJBM.
Artikel 34 Keputusan
34.1 Jawatankuasa Eksekutif tidak boleh terlibat dalam perdebatan rasmi melainkan sembilan (9) ahlinya hadir.
34.2 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah mencapai keputusan berdasarkan majoriti mudah ahli yang hadir. Jika bilangan undi sama banyak, maka Presiden mempunyai undi pemutus. Undi melalui proksi atau surat tidak dibenarkan.
34.3 Mana-mana ahli Jawatankuasa Eksekutif mestilah menarik diri daripada perdebatan dan daripada membuat keputusan jika terdapat apa-apa risiko atau kemungkinan berlakunya percanggahan kepentingan.
34.4 Keputusan yang diambil hendaklah dicatatkan dalam minit.
34.5 Keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Eksekutif hendaklah berkuatkuasa serta-merta, melainkan Jawatankuasa Eksekutif memutuskan sebaliknya.
Artikel 35 Pemecatan Seseorang atau Sesebuah Badan
35.1 Kongres boleh memecat seseorang atau Pegawai atau sesebuah badan. Jawatankuasa Eksekutif boleh menggantikan orang atau Pegawai atau badan yang dipecat itu dalam agenda Kongres. Jawatankuasa Eksekutif juga boleh memecat seseorang atau Pegawai atau sesebuah badan secara sementara. Mana-mana ahli Jawatankuasa Eksekutif boleh mengemukakan cadangan untuk memasukkan usul bagi pemecatan tersebut ke dalam agenda Jawatankuasa Eksekutif atau Kongres.
35.2 Usul bagi pemecatan tersebut mestilah berasas. Ia akan dihantar kepada Ahli PJBM bersama dengan agenda tersebut.
35.3 Orang atau Pegawai atau badan yang berkenaan itu mempunyai hak untuk bersuara bagi membela diri.
35.4 Jika usul bagi pemecatan itu dibenarkan, maka Kongres atau Jawatankuasa Eksekutif hendaklah mencapai keputusan melalui undi sulit. Untuk membolehkan usul diluluskan, majoriti dua per tiga (2/3) daripada undi sah diperlukan.
35.5 Orang atau Pegawai atau badan yang dipecat (secara sementara) mestilah dilepaskan daripada fungsinya yang berkuatkuasa serta-merta.
C. PRESIDEN
Artikel 36 Presiden
36.1 Presiden mewakili PJBM secara sah.
36.2 Dia bertanggungjawab terutamanya untuk :-
36.2.1 melaksanakan keputusan yang diluluskan oleh Kongres dan Jawatankuasa Eksekutif melalui Sekretariat Agung;
36.2.2 memastikan PJBM berfungsi secara efektif untuk mencapai objektif yang ditetapkan dalam Statut;
36.2.3 menyelia kerja Sekretariat Agung;
36.2.4 mewujudkan hubungan baik antara PJBM dengan Ahlinya, FAM, FIFA, AFC, badan politik dan organisasi lain.
36.3 Hanya Presiden boleh mencadangkan pelantikan atau pemecatan Setiausaha Kehormat.
36.4 Presiden hendaklah mempengerusikan Kongres, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Darurat serta mesyuarat jawatankuasa lain yang beliau dilantik sebagai Pengerusi.
36.5 Presiden hendaklah mempunyai satu undi biasa dalam Jawatankuasa Eksekutif dan apabila bilangan undi sama banyak, beliau hendaklah mempunyai undi pemutus.
36.6 Jika Presiden tidak hadir atau tidak ada, salah seorang Timbalan Presiden hendaklah menggantikan tempatnya.
36.7 Apa-apa kuasa tambahan Presiden hendaklah terkandung dalam Peraturan organisasi dalaman PJBM.
Artikel 37 Calon bagi Jawatan Presiden
37.1 Presiden hendaklah dipilih oleh Kongres untuk berkhidmat selama tempoh empat (4) tahun. Mandat ini bermula selepas tamat Kongres yang memilih mereka. Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden boleh dipilih semula.
37.2 Bagi pemilihan jawatan Presiden, dua per tiga (2/3) undi yang direkodkan dan sah diperlukan dalam undian pertama. Dalam undian kedua dan apa-apa undian lain yang diperlukan, majoriti mutlak bagi undi yang direkodkan (50% + 1) sudah mencukupi. Jika terdapat lebih daripada seorang calon, maka calon yang mendapat bilangan undi paling rendah akan disingkirkan mulai undian kedua sehinggalah tinggal seorang calon sahaja.
37.3 Hanya Ahli boleh mencadangkan calon bagi jawatan Presiden. Ahli hendaklah menyerahkan nama calon secara bertulis kepada Sekretariat Agung bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden sekurang-kurangnya dua (2) bulan sebelum tarikh Kongres.
37.4 Sekretariat Agung hendaklah memberitahu nama calon yang dicadangkan kepada Ahli sekurang-kurangnya satu (1) bulan sebelum tarikh Kongres.
37.5 Jika Presiden terhalang daripada menjalankan tugas rasminya samada secara tetap atau sementara, maka seorang Timbalan Presiden yang telah dinamakan hendaklah menggantikan beliau sehingga Kongres berikutnya. Kongres ini akan memilih Presiden baru, jika perlu.
Artikel 38 Wakil dan Tandatangan
Presiden mewakili PJBM di sisi undang-undang dan berhak untuk menurunkan tandatangannya bagi pihak PJBM. Jawatankuasa Eksekutif boleh mewujudkan Peraturan organisasi dalaman berhubung dengan tandatangan bersama Para Pegawai, khususnya, dalam kes ketidakhadiran Presiden dan segala urusan penting PJBM.
D. JAWATANKUASA DARURAT
Artikel 39 Jawatankuasa Darurat
39.1 Jawatankuasa Darurat hendaklah menangani segala perkara yang menghendaki penyelesaian segera antara dua mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif. Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Presiden PJBM, Timbalan Presiden PJBM yang dinamakan dan tiga (3) ahli Jawatankuasa Eksekutif.
39.2 Presiden hendaklah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Darurat. Jika mesyuarat itu tidak dapat diadakan dalam tempoh masa yang tertentu, maka keputusan boleh diluluskan melalui cara komunikasi yang lain. Keputusan itu hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan sah di sisi undang–undang. Presiden hendaklah segera memaklumkan kepada Jawatankuasa Eksekutif tentang keputusan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Darurat itu.
39.3 Segala keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Darurat hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Eksekutif berikutnya.
39.4 Jika Presiden tidak dapat menghadiri mesyuarat, maka Timbalan Presiden yang telah dinamakan hendaklah mempengerusikan mesyuarat tersebut.
E. JAWATANKUASA TETAP
Artikel 40 Jawatankuasa Tetap
40.1 Jawatankuasa tetap terdiri daripada :-
40.1.1 Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan;
40.1.2 Jawatankuasa Audit Dalam;
40.1.3 Jawatankuasa Bolasepak Wanita;
40.1.4 Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai;
40.1.5 Jawatankuasa Sains Sukan;
40.1.6 Jawatankuasa Perubatan Sukan;
40.1.7 Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam;
40.1.8 Jawatankuasa Integriti;
40.1.9 Jawatankuasa Ad-Hoc
40.1.10 Apa-apa jawatankuasa lain yang difikirkan perlu oleh Jawatankuasa Eksekutif.
40.2 Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap hendaklah terdiri daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif kecuali Jawatankuasa Audit Dalam dan Jawatankuasa Integriti.
40.3 Ahli atau Presiden boleh mencadangkan ahli bagi setiap Jawatankuasa Tetap yang mana akan diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif. Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Tetap hendaklah dilantik dalam tempoh selama empat (4) tahun.
40.4 Setiap Pengerusi hendaklah mewakili jawatankuasanya dan menjalankan urusan dengan mematuhi Peraturan organisasi berkaitan yang dirangka dan diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif.
40.5 Setiap Pengerusi hendaklah menetapkan tarikh mesyuarat dengan kerjasama Setiausaha Kehormat dengan memastikan semua tugas dilaksanakan serta dilaporkan kepada Jawatankuasa Eksekutif.
40.6 Setiap jawatankuasa boleh mencadangkan pindaan terhadap Peraturannya kepada Jawatankuasa Eksekutif.
40.7 Keputusan Jawatankuasa Tetap boleh dilaksanakan serta-merta kecuali diputuskan berlainan oleh Jawatankuasa Eksekutif.
40.8 Jika diperlukan, Jawatankuasa Tetap boleh menubuhkan Jawatankuasa-jawatankuasa Kecil bagi menjalankan tugasan khas seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tetap dengan syarat Jawatankuasa Kecil tersebut hendaklah terlebih dahulu diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif atau Jawatankuasa Darurat.
Artikel 41 Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan
41.1 Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan hendaklah bertanggungjawab di dalam semua hal pengurusan kewangan PJBM dan menasihati Jawatankuasa Eksekutif tentang perkara kewangan dan pengurusan aset.
41.2 Ia hendaklah menganalisa belanjawan PJBM dan penyata kewangan yang disediakan oleh Bendahari dan mengemukakannya kepada Jawatankuasa Eksekutif untuk kelulusan.
41.3 Jawatankuasa ini juga hendaklah menangani semua hal mengenai pengurusan PJBM melalui peraturan khas yang digubal oleh Jawatankuasa Eksekutif, PJBM.
41.4 Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan maksimum tujuh (7) orang ahli.
Artikel 42 Jawatankuasa Audit Dalam
Jawatankuasa Audit Dalam hendaklah memastikan laporan perakaunan kewangan lengkap dan boleh dipercayai dan menyemak laporan juruaudit luar atas permintaan Jawatankuasa Eksekutif. Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan maksimum sembilan (9) orang ahli.
Artikel 43 Jawatankuasa Bolasepak Wanita
Jawatankuasa Bolasepak Wanita hendaklah menangani semua perkara berkaitan dengan Aktiviti Bolasepak Wanita. Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan maksimum sembilan (9) orang ahli.
Artikel 44 Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai
44.1 Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan maksimum sembilan (9) orang ahli.
44.2 Tugasnya adalah :-
44.2.1 untuk merangka strategi terbaik bagi pembangunan Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai;
44.2.2 untuk memajukan kaedah bimbingan dan latihan Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai;
44.2.3 untuk menambah baik kebolehan, perkembangan serta pendidikan jurulatih dan pembimbing, serta memberikan cadangan, pandangan dan usul kepada FAM dalam pelbagai hal berkaitan kejurulatihan Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai;
44.2.4 untuk menganjurkan kursus dan persidangan bagi jurulatih, pembimbing dan pihak pentadbiran Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai;
44.2.5 untuk merangka program pembangunan belia termasuk kanak–kanak dari peringkat akar umbi;
44.2.6 untuk menjalankan penyelidikan tentang faktor yang mempengaruhi pembangunan Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai;
44.2.7 untuk mengadakan serta menjalankan kumpulan kajian teknikal (Technical Study Group) dari masa ke semasa bagi tujuan analisa dan pendidikan kejurulatihan;
44.2.8 untuk memberikan cadangan, pandangan dan usul kepada FAM dalam pelbagai hal berkaitan teknikal Bolasepak, Futsal dan Bolasepak Pantai;
Artikel 45 Jawatankuasa Sains Sukan
Jawatankuasa Sains Sukan hendaklah menguruskan segala aspek aplikasi dan kajian sains sukan terutamanya yang berkaitan pembangunan Bolasepak dan menguruskan semua hal-hal berkaitannya. Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan maksimum sembilan (9) orang ahli.
Artikel 46 Jawatankuasa Perubatan Sukan
Jawatankuasa Perubatan Sukan hendaklah menguruskan segala aspek perubatan Bolasepak. Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan maksimum sembilan (9) orang ahli.
Artikel 47 Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam
Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam hendaklah menguruskan hal berkaitan dengan pihak media dalam acara PJBM dan mengekalkan hubungan dengan organisasi media. Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan maksimum sembilan (9) orang ahli.
Artikel 48 Jawatankuasa Integriti
Jawatankuasa Integriti bertanggungjawab melakukan perbincangan serta memberikan cadangan, pandangan dan usul kepada FAM dalam pelbagai hal berkaitan integriti bagi menghindar gejala-gejala yang tidak sihat di dalam permainan Bolasepak seperti rasuah dan menentukan keputusan perlawanan. Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan maksimum sembilan (9) orang ahli.
Artikel 49 Jawatankuasa Ad-Hoc
Jawatankuasa Eksekutif boleh, jika perlu, mewujudkan Jawatankuasa Ad-Hoc bagi apa-apa tugas khas dalam tempoh yang tertentu. Jawatankuasa Eksekutif hendaklah melantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan sebilangan ahli yang sesuai. Tugas dan fungsinya ditetapkan dalam Peraturan Khas yang dirangka oleh Jawatankuasa Eksekutif. Jawatankuasa Ad-Hoc ini melapor terus kepada Jawatankuasa Eksekutif. Jawatankuasa Ad-Hoc akan dibubarkan setelah menyelesaikan tugasan atau seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif.
F. SEKRETARIAT AGUNG
Artikel 50 Sekretariat Agung
Sekretariat Agung hendaklah menjalankan segala kerja pentadbiran PJBM di bawah arahan Setiausaha Kehormat. Anggota Sekretariat Agung terikat dengan Peraturan organisasi dalaman PJBM dan hendaklah melaksanakan tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin.
Artikel 51 Setiausaha Kehormat
51.1 Setiausaha Kehormat hendaklah dilantik oleh Presiden.
51.2 Setiausaha Kehormat ialah Ketua Eksekutif Sekretariat Agung.
51.3 Beliau hendaklah dilantik berdasarkan perjanjian yang dikawal oleh undang- undang persendirian dan hendaklah mempunyai pengalaman yang diperlukan.
51.4 Beliau bertanggungjawab :-
51.4.1 untuk melaksanakan keputusan yang diluluskan oleh Kongres dan Jawatankuasa Eksekutif dengan mematuhi arahan Presiden;
51.4.2 untuk menghadiri Kongres, Mesyuarat–mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Darurat serta Jawatankuasa Tetap, Jawatankuasa Ad-Hoc dan Badan Kehakiman PJBM ;
51.4.3 untuk menguruskan Kongres, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan mesyuarat–mesyuarat lain;
51.4.4 untuk menyusun minit Kongres, mesyuarat–mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Darurat, Jawatankuasa Tetap serta jawatankuasa Ad-Hoc;
51.4.5 menguruskan dan menyimpan akaun PJBM dengan sempurna;
51.4.6 terhadap surat-menyurat PJBM;
51.4.7 terhadap hubungan dengan Ahli, jawatankuasa, FAM, FIFA dan AFC;
51.4.8 untuk menguruskan Sekretariat Agung;
51.4.9 melantik dan memecat kakitangan Sekretariat Agung;
51.4.10 mencadangkan kakitangan pengurusan kepada Presiden.
51.5 Jawatankuasa Eksekutif hendaklah melantik Pemangku Setiausaha Kehormat sekiranya ketiadaan Setiausaha Kehormat.
51.6 Setiausaha Kehormat mungkin bukan perwakilan Kongres atau ahli mana-mana badan PJBM.
51.7 Timbalan Setiausaha Kehormat boleh dilantik oleh Presiden.
51.8 Timbalan Setiausaha Kehormat mungkin bukan perwakilan Kongres atau ahli mana-mana badan PJBM.
Artikel 52 Bendahari Kehormat
52.1 Bendahari Kehormat hendaklah dilantik oleh Presiden.
52.2 Bendahari Kehormat hendaklah merupakan ahli Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan.
52.3 Bendahari Kehormat bertanggungjawab untuk :-
52.3.1 menyelia penyimpanan buku akaun dengan sempurna;
52.3.2 menyerahkan penyata akaun bulanan;
52.3.3 menyediakan Akaun Tahunan;
52.3.4 membentangkan Akaun Tahunan dalam Kongres Tahunan; dan
52.3.5 menyerahkan akaun yang telah diaudit kepada Pesuruhjaya Sukan.
52.4 Semua akaun yang akan diserahkan kepada Kongres oleh Bendahari Kehormat hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan dan Jawatankuasa Eksekutif.
Artikel 53 Badan Kehakiman
53.1 Badan Kehakiman PJBM terdiri daripada :-
53.1.1 Jawatankuasa Tatatertib; dan
53.1.2 Jawatankuasa Rayuan.
53.2 Tanggungjawab dan fungsi badan ini hendaklah ditetapkan dalam Kod Tatatertib Persatuan yang mematuhi Kod Tatatertib FAM, AFC dan FIFA.
53.3 Kuasa membuat keputusan bagi jawatankuasa yang lain kekal tidak berubah.
53.4 Ahli Badan Kehakiman tidak boleh menjadi ahli mana-mana Badan PJBM yang lain pada masa yang sama.
Artikel 54 Jawatankuasa Tatatertib
54.1 Jawatankuasa Tatatertib hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan beberapa orang ahli yang difikirkan perlu. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah mempunyai kelayakan undang-undang.
54.2 Fungsi badan ini hendaklah dikawal oleh Kod Tatatertib PJBM. Jawatankuasa ini hendaklah meluluskan keputusan hanya apabila sekurang-kurangnya tiga (3) orang ahlinya hadir. Dalam kes tertentu, Pengerusi boleh membuat keputusannya sendiri menurut Kod Tatatertib Persatuan.
54.3 Jawatankuasa ini boleh mengumumkan sekatan yang dinyatakan dalam Statut ini dan Kod Tatatertib PJBM terhadap Ahli, Pegawai serta mana-mana pihak yang difikirkan perlu.
54.4 Jawatankuasa Tatatertib akan melaksanakan dan menguatkuasakan apa–apa Kod Tatatertib yang dipinda oleh FAM, AFC atau FIFA.
54.5 Peruntukan ini tertakluk kepada kuasa Tatatertib Kongres dan Jawatankuasa Eksekutif berhubung dengan penggantungan dan pemecatan Ahli.
Artikel 55 Jawatankuasa Rayuan
55.1 Jawatankuasa Rayuan hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan beberapa orang ahli yang difikirkan perlu. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah mempunyai kelayakan undang-undang.
55.2 Fungsi badan ini dikawal oleh Kod Tatatertib PJBM. Jawatankuasa ini hendaklah meluluskan keputusan hanya apabila sekurang-kurangnya tiga (3) orang ahlinya hadir. Dalam kes tertentu, Pengerusi boleh membuat keputusannya sendiri menurut Kod Tatatertib PJBM.
55.3 Jawatankuasa Rayuan bertanggungjawab untuk mendengar rayuan terhadap keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib yang tidak diisytiharkan sebagai muktamad.
Artikel 56 Langkah Tatatertib
Langkah Tatatertib ini adalah semata-mata :-
56.1 untuk individu sebenar dan individu di sisi undang-undang:
56.1.1 amaran;
56.1.2 teguran;
56.1.3 denda;
56.1.4 pemulangan award.
56.2 untuk individu sebenar:
56.2.1 amaran;
56.2.2 pemecatan;
56.2.3 dilarang mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti yang berkaitan dengan PJBM;
56.3 untuk individu di sisi undang-undang:
56.3.1 pemecatan;
56.3.2 pelucutan hak;
Artikel 57 Timbang Tara
57.1 PJBM hendaklah mewujudkan sebuah Tribunal Timbang Tara, yang perlu menangani segala pertikaian dalaman peringkat Kebangsaan antara PJBM, Ahli, Pegawai atau keputusan Jawatankuasa Rayuan yang tidak termasuk di bawah bidang kuasa Badan Kehakimannya. Jawatankuasa Eksekutif hendaklah merangka Peraturan Khas berhubung dengan komposisi, bidang kuasa dan kaedah prosedur Tribunal Timbang Tara ini.
57.2 Kos prosiding Tribunal Timbang Tara akan ditanggung oleh perayu jika dia kalah dalam kes itu. Sebaliknya, kos akan ditanggung oleh pihak yang satu lagi atau kedua-dua pihak jika perayu menang sebahagian dalam kes itu.
Artikel 58 Bidang Kuasa
58.1 PJBM, Ahli, atau Pegawai atau sesiapa sahaja seperti yang ditakrifkan di dalam Statut PJBM tidak boleh membawa apa-apa jua pertikaiannya ke mana-mana Mahkamah melainkan telah menggunakan semua hak yang diperuntukkan secara khusus dalam Statut ini atau Peraturan Persatuan, Peraturan FAM, Peraturan AFC atau FIFA. Apa-apa pertikaian hendaklah dikemukakan kepada bidang kuasa Persatuan, FAM, AFC atau FIFA.
58.2 PJBM hendaklah mempunyai bidang kuasa terhadap pertikaian dalaman kebangsaan, iaitu pertikaian antara pihak yang menganggotai PJBM.
58.3 Tertakluk kepada Artikel 58.1, jika sekiranya Ahli atau Pegawai atau sesiapa sahaja seperti yang ditakrifkan di dalam Statut PJBM membawa apa-apa jua kes atau pertikaian ke mana-mana mahkamah, maka Ahli atau pihak tersebut akan lucut hak keahlian atau penyertaan Aktiviti Bolasepak yang ditetapkan oleh PJBM secara automatik manakala Pegawai digantung seumur hidup dan Ahli atau Pegawai atau atau sesiapa sahaja seperti yang ditakrifkan di dalam Statut PJBM tersebut hilang hak untuk merayu melainkan diputuskan sebaliknya oleh Kongres PJBM.
Artikel 59 Mahkamah Timbang Tara Sukan
59.1 Menurut Artikel 59 dan 60 Statut FIFA, apa-apa rayuan terhadap keputusan FIFA yang muktamad dan terikat hendaklah didengar oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland untuk menyelesaikan pertikaian antara FIFA, Ahli, Gabungan, Negeri, Kelab, Pemain, Pegawai dan ejen perlawanan yang berlesen serta ejen Pemain. Walau bagaimanapun, CAS tidak boleh mendengar rayuan tentang pelanggaran Undang-Undang Permainan, penggantungan sehingga empat (4) permainan atau sehingga tiga (3) bulan, atau keputusan yang diluluskan oleh Tribunal Timbang Tara Persatuan atau Gabungan yang bebas dan ditubuhkan sewajarnya.
59.2 PJBM hendaklah mematuhi sepenuhnya, begitu juga Ahli dan Pegawai juga akan mematuhi, apa-apa keputusan muktamad yang diluluskan oleh badan FIFA atau CAS.
59.3 Ahli hendaklah bersetuju untuk mengiktiraf CAS sebagai pihak berkuasa kehakiman yang bebas dan memastikan Ahli, dan Pegawainya mematuhi keputusan yang diluluskan oleh CAS. Obligasi yang sama terpakai kepada ejen permainan berlesen dan ejen Pemain serta Jurulatih.
BAHAGIAN V KEWANGAN
Artikel 60 Tempoh Kewangan
60.1 Tempoh kewangan Persatuan adalah setiap tahun dan bermula pada setiap 1 Januari tahun berkenaan dan berakhir pada 31 Disember pada tahun yang sama.
60.2 Pendapatan dan perbelanjaan Persatuan hendaklah diuruskan supaya ia seimbang sepanjang tempoh kewangan tersebut. Tugas utama Persatuan pada masa depan hendaklah terjamin dengan adanya simpanan.
60.3 Bendahari Kehormat bertanggungjawab menyusun akaun tahunan disatukan bagi Persatuan dengan subsidiarinya seperti pada 31 Disember.
Artikel 61 Pendapatan
61.1 Pendapatan Persatuan diperoleh secara khususnya daripada :-
61.1.1 yuran tahunan Ahli;
61.1.2 penerimaan yang diperoleh daripada hak pemasaran yang menjadi hak Persatuan;
61.1.3 denda yang dikenakan oleh badan yang dibenarkan;
61.1.4 yuran dan penerimaan lain yang diterima selaras dengan objektif yang ingin dicapai oleh PJBM;
61.1.5 wang yang dikumpul atau dipinjam mengikut cara yang difikirkan sesuai oleh Kongres dan untuk mencagarkan, menggadaikan atau memberikan lien atau cagaran lain ke atas seluruh atau sebahagian aku janji, harta dan aset PJBM bagi maksud dan dalam keadaan tertentu berdasarkan terma dan syarat seperti yang difikirkan sesuai oleh Kongres;
61.1.6 semua wang yang dikumpul dan keuntungan yang terakru kepada PJBM daripada penyertaannya dalam mana-mana perniagaan dan menggunakannya semata-mata untuk tujuan mendorong, menggalakkan dan melaksanakan objektif Persatuan dan tiada mana–mana bahagiannya yang boleh dibayar melalui dividen, bonus atau keuntungan kepada mana-mana Ahli, pegawai, pekerja atau mana–mana pihak ketiga. Dengan syarat tiada apa–apa pun yang dinyatakan atau yang terkandung dalamnya boleh menghalang pembayaran secara ikhlas atau membayar ganjaran atau perbelanjaan atau kedua–duanya kepada mana-mana Ahli, pegawai, pekerja atau pihak ketiga bagi perkhidmatan yang benar–benar dilakukan oleh mereka untuk Persatuan.
Artikel 62 Perbelanjaan
62.1 Persatuan menanggung :-
62.1.1 perbelanjaan yang dinyatakan dalam belanjawan;
62.1.2 perbelanjaan lain yang diluluskan oleh Kongres dan perbelanjaan yang mesti ditanggung oleh Jawatankuasa Eksekutif dalam skop kuasanya;
62.1.3 pembayaran sumbangan dana PJBM kepada mana-mana badan kebajikan atau Tabung, Kelab atau Institusi lain mengikut cara seumpamanya yang dianggap baik oleh Kongres;
62.1.4 segala perbelanjaan lain selaras dengan objektif yang ingin dicapai oleh Persatuan.
Artikel 63 Juruaudit Bebas
Juruaudit bebas yang dilantik oleh Kongres hendaklah mengaudit akaun yang diluluskan oleh Jawatankuasa Kewangan menurut prinsip perakaunan yang sewajarnya dan membentangkan laporan kepada Kongres. Juruaudit hendaklah dilantik oleh Kongres bagi satu tempoh selama empat (4) tahun. Mandat ini boleh diperbaharui.
Artikel 64 Yuran Keahlian
64.1 Yuran Keahlian perlu dibayar pada 1 Januari setiap tahun. Yuran tahunan bagi Ahli baru untuk tahun berkenaan hendaklah dibayar dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penutupan Kongres semasa ahli itu diterima masuk.
64.2 Yuran kemasukan setiap Ahli Baru adalah seperti berikut:-
64.2.1 Yuran kemasukan bagi Individu ialah ialah Ringgit Malaysia: Lima puluh (RM50.00) sahaja.
64.2.2 Yuran kemasukan bagi Persatuan Jurulatih Bolasepak peringkat Negeri atau organisasi lain ialah Ringgit Malaysia: Lima ribu (RM3,000.00) sahaja.
64.3 Yuran Tahunan setiap Ahli adalah seperti berikut:-
64.3.1 Yuran tahunan bagi Individu ialah ialah Ringgit Malaysia: Satu ratus dua puluh (RM120.00) setahun yang perlu dibayar pada 1 Januari atau semasa diterima menjadi Ahli.
64.3.2 Yuran tahunan bagi Persatuan Jurulatih Bolasepak peringkat Negeri atau organisasi lain ialah Ringgit Malaysia: Lima ratus (RM500.00) setahun yang perlu dibayar pada 1 Januari atau semasa diterima menjadi Ahli.
Artikel 65 Penyelesaian
PJBM hendaklah mendebitkan mana-mana akaun Ahli untuk menyelesaikan tuntutan.
Artikel 66 Harta
66.1 Harta alih PJBM hendaklah terletak hak atas nama PJBM dan hendaklah dilaksanakan melalui keputusan yang diluluskan dalam mesyuarat Kongres.
66.2 Harta tak alih PJBM hendaklah didaftarkan atas nama PJBM. Semua surat cara yang berkaitan dengan harta tersebut hendaklah dilaksanakan oleh Presiden, Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat PJBM pada masa itu.
66.3 Apa-apa harta tak alih PJBM tidak boleh dijual, dipajak, digadai janji atau dipindah milik tanpa izin dan kuasa Kongres. Ia hanya boleh diuruskan menurut resolusi yang diluluskan oleh Kongres sahaja.
66.4 WALAU BAGAIMANAPUN tiada pelupusan, jualan, pindah milik dan/atau pajakan dalam apa jua bentuknya yang boleh diluluskan dalam mesyuarat Kongres yang dalam Kongres ini resolusi mestilah menerima sekurang-kurangnya dua per tiga (2/3) undi daripada seluruh ahli Kongres. Walau apa pun yang berlawanan yang terkandung dalam peruntukan ini, proviso ini tidak terpakai kepada harta tak alih yang dikelaskan dan dikategorikan serta yang disifatkan oleh Jawatankuasa Perniagaan dan Pelaburan sebagai aset perniagaan PJBM.
Artikel 67 Pemegang Amanah
67.1 PJBM boleh, dalam mesyuarat Kongres, melantik dua (2) orang atau lebih untuk menjadi pemegang amanah PJBM. Mereka hendaklah memegang jawatan ini seumur hidup, meletak jawatan atau meninggalkan Malaysia untuk selama-lamanya, atau ditukarkan mengikut resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat Kongres PJBM.
67.2 Semua harta tak alih PJBM hendaklah terletak hak atas nama Pemegang Amanah yang akan melaksanakan Surat Ikatan Amanah seperti yang dikehendaki oleh mereka.

Artikel 68 Hubungan
68.1 PJBM tidak boleh mewujudkan hubungan kesukanan dengan Persatuan yang bukan ahli FAM, AFC, FIFA atau dengan ahli sementara Gabungan tanpa kelulusan FAM.
68.2 PJBM atau mana-mana Ahli tidak boleh mewujudkan hubungan kesukanan dengan persatuan, kelab, badan lain dan sebagainya yang bukan ahli PJBM, FAM atau Anggota Gabungan dengan mana-mana Ahlinya.
Artikel 69 Kelulusan
Mana-mana Ahli, atau mana-mana organisasi lain yang bergabung dengan PJBM tidak boleh menjadi ahli mana-mana persatuan lain di dalam wilayah Persatuan yang lain tanpa kelulusan PJBM dan Persatuan lain dan FAM, melainkan dalam keadaan tertentu.
BAHAGIAN VII PERUNTUKAN AKHIR
Artikel 70 Fasal Tafsiran
Jika timbul apa-apa kesamaran atau pertikaian berhubung dengan tafsiran Statut, Kod, peraturan-peraturan, kaedah dan undang-undang kecil PJBM, maka keputusan Kongres tentang perkara itu adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan dalam mana-mana mahkamah biasa atas cadangan badan yang menerima pakai dokumen undang-undang berkenaan.
Artikel 71 Keadaan Luar Jangka Yang Tidak Diduga dan Force Majeure
Jawatankuasa Eksekutif hendaklah mempunyai keputusan muktamad tentang apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan dalam Statut atau dalam hal force majeure.
Artikel 72 Sumbangan kepada Media
Presiden atau Setiausaha Kehormat atau mana-mana Pegawai yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif boleh membuat kenyataan atau sumbangan kepada Media dengan syarat tidak:-
72.1 menyentuh atau menyampaikan kilanan, rungutan, menyampaikan perasaan tidak puashati atau mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal PJBM atau pengelolaan sebarang aktiviti yang direstui atau diluluskan oleh PJBM;
72.2 memperlekehkan, mengancam, memperkecilkan, merungut, mempersoalkan, atau mempertikaikan prestasi mana-mana Pegawai;
72.3 bercanggah, mempertikaikan, mempersoal, atau fakta yang diberikan adalah tidak tepat atau bercanggah atau salah dengan mana-mana keputusan-keputusan Badan Persatuan mengikut Artikel 18, Statut PJBM iaitu keputusan Kongres, Jawatankuasa Eksekutif, Presiden, Jawatankuasa Darurat, Jawatankuasa Tetap, Sekretariat Agung dan Badan Kehakiman PJBM;
72.4 mengugut Persatuan atau aktivitinya;
72.5 mempunyai niat bertujuan menghina, mengaibkan, menjatuhkan atau mencemar imej Pegawai, Persatuan atau memperlekehkan mana-mana Pegawai Persatuan atau Pegawai Ahli; atau
72.6 bercanggah dengan mana-mana Peraturan Persatuan atau yang ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif dari semasa ke semasa.
Artikel 73 Pembubaran
73.1 Apa-apa keputusan berhubung dengan pembubaran Persatuan memerlukan majoriti dua per tiga (2/3) daripada seluruh Ahli PJBM, yang mesti diperoleh dalam Kongres yang diadakan khusus bagi tujuan tersebut.
73.2 Jika PJBM dibubarkan, asetnya hendaklah dipindahkan kepada Pemegang Amanah Raya. Pemegang Amanah Raya hendaklah memegang aset ini sebagai amanah, “bonus pater familiae” sehingga PJBM diwujudkan semula. Walau bagaimanapun, Kongres terakhir boleh memilih penerima lain aset tersebut berdasarkan majoriti dua per tiga (2/3).
Artikel 74 Notis Mesyuarat
74.1 Setiausaha Agung hendaklah memberi sekurang-kurangnya sembilan puluh (90) hari notis kepada semua Ahli berkenaan dengan tempat, tarikh dan masa bagi setiap Kongres Tahunan atau Kongres Luar Biasa. Notis itu hendaklah disifatkan telah diberikan dengan sewajarnya kepada mana–mana Ahli jika dihantarkan ke alamat Ahli terakhir yang diketahui atau dihebahkan melalui siaran melalui media internet seperti e-mail dan sebagainya.
74.2 Notis bagi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif hendaklah diberikan sekurang- kurangnya tujuh (7) hari genap sebelum tarikh mesyuarat itu diadakan.
74.3 Notis bagi Mesyuarat Jawatankuasa Tetap dan lain lain jawatankuasa hendaklah diberikan sekurang-kurangnya tiga (3) hari sebelum tarikh mesyuarat itu diadakan.
Artikel 75 Korum bagi Mesyuarat
Korum bagi mesyuarat adalah :-
75.1 Kongres Tahunan atau Kongres Luar Biasa – hendaklah tidak kurang dari 20 orang Ahli atau tidak kurang dari satu perempat (1/4) daripada bilangan keahlian yang layak mengundi, mengikut bilangan yang mana lebih kecil.
75.2 Jawatankuasa Eksekutif – lebih daripada separuh bilangan ahli Jawatankuasa.
75.3 Korum bagi mesyuarat Jawatankuasa Darurat, Jawatankuasa Tetap atau mana-mana jawatankuasa yang lain, Tribunal atau Suruhanjaya yang boleh dilantik oleh Jawatankuasa Eksekutif, dari semasa ke semasa, hendaklah lebih daripada separuh bilangan Ahli yang menganggotai Jawatankuasa, Tribunal atau Suruhanjaya itu dengan syarat korum bagi Jawatankuasa Perniagaan dan Pelaburan hendaklah sekurang-kurangnya separuh dari bilangan ahli Jawatankuasa itu.
Artikel 76 Kehadiran dalam Mesyuarat
76.1 Ahli Jawatankuasa yang gagal untuk menghadiri tiga (3) mesyuarat mengikut mana-mana yang berkenaan, sebanyak tiga (3) kali berturut-turut, akan dilucut keahliannya dalam Jawatankuasa itu secara automatik melainkan jika Jawatankuasa berpuas hati dengan sebab ketidakhadirannya dan ketidakhadirannya itu berasas atau boleh diterima oleh Jawatankuasa Eksekutif.
76.2 Jawatankuasa boleh, mengikut budi bicara mutlaknya, memutuskan untuk membenarkan ahli Jawatankuasa mencadangkan mana-mana individu yang dilucutkan keahliannya dalam Jawatankuasa tersebut digantikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dengan individu lain.
Artikel 77 Perkara yang Tidak Dinyatakan
Semua perkara yang tidak dinyatakan dalam Statut hendaklah diselesaikan oleh Jawatankuasa Eksekutif kecuali diputuskan sebaliknya oleh Kongres.
Artikel 78 Penguatkuasaan
Statut ini akan dibentang mengikut perlembagaan terdahulu dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2013 dan jika diluluskan akan mula berkuatkuasa sepenuhnya setelah berakhir penggal pemilihan perlembagaan sebelumnya iaitu pada tahun 2014.